Saat dirinya dilempar tuduhan negatif gara-gara kesan gigitan di leher, penyanyi Yuna boleh berbangga apabila wajahnya dipilih menghiasi papan iklan elektronik di Times Square, New York, bermula semalam.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 30, akui teruja apabila wajahnya terpampang di skrin gergasi di lokasi yang menjadi tumpuan ramai itu.

“Sudah tentu saya teruja apabila diangkat sebagai artis pilihan bulanan Pasaran Saham Nasdaq. Skrin gergasi itu adalah milik syarikat Nesdaq yang mempunyai peranan dalam industri pengiklanan serta memaparkan info pasaran saham dunia.

“Malah, lokasi yang sama itu turut popular sebagai latar belakang untuk pemberita TV daripada CNN, CNBC dan BBC menyampaikan laporan berita.

“Wajah saya akan ada berada di situ kira-kira sebulan, ia sedikit sebanyak telah memberi pengktirafan terhadap kerjaya saya di AS.

“Skrin itu sebesar 61 kaki ribu persegi yang turut mempromosikan lagu saya serta temubual yang dibuat bersama dengan syarikat pengiklanan itu.

“Saya tidak menyangka dapat diberi peluang yang begitu besar, saya difahamkan untuk menjadi wajah eksklusif skrin gergasi ini perlu menetapi syarat yang sangat ketat,” kata Yuna kepada Astro Gempak di Majlis Pelancaran Yuna for Los Ravelda semalam.

Tambah Yuna lagi, sebelum ini pemuzik terkenal The Chainsmokers yang popular dengan lagu Closer telah menjadi wajah eksklusif Nasdaq pada bulan lalu.

“Nasdaq selalu memberi ruang kepada pemuzik untuk mempromosikan lagu-lagu mereka, tapi kena lalui proses yang agak rumit.

“Times Square tempat tumpuan pelancong dari serata dunia, apabila produk kita diiklankan di situ ia mampu memberikan impak positif terhadap kerjaya.

“Hampir 5 tahun saya mengembangkan karier nyanyian di Amerika Syarikat dan bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan,” katanya.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir