Ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red akui dugaan yang diterima bertimpa-timpa apabila anak perempuannya, Aziera, 20, juga kini dalam proses perceraian.

Menurut Datuk Red, perkahwinan anaknya itu dilanda badai selepas baharu sahaja setahun mendirikan rumah tangga.

“Mereka (anak dan menantu) pun nak bercerai, Allah duga saya sangat kuat.

“Anak saya baru 20 tahun dan usia perkahwinannya juga baru masuk setahun.

“Pada saya, ini semua akibat saya alpa dengan kehidupan dunia… Inilah balasannya,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Pagi tadi, Datuk Red yang juga suami kepada penyanyi Adira Suhaimi memuat naik fotonya bersama anaknya yang berada di Mahkamah Syariah Rendah Kuala Selangor.

Anak perempuan itu merupakan hasil perkahwinan pertamanya bersama bekas isteri ketika berusia 20 tahun dan hanya bertahan selama lima tahun.

Hasil perkahwinan itu dia dikurniakan dua orang cahaya mata berusia 20 tahun dan 15 tahun.

Mengulas lanjut mengenai anaknya itu, Datuk Red akui simpati dengan nasib anak Aziera, lebih-lebih lagi anaknya seorang yang suka berahsia.

“Dia jenis berahsia, dari dulu dia hidup sendiri. Itu yang saya kasihan dengan nasib dia.

“Anak saya ini, kalau dia tak susah dia memang tak akan hubungi saya.

“Namun dia juga rapat dengan Datin Red,” katanya lagi.

Pada 9 Oktober lalu, Datuk Red telah membantah permohonan cerai Adira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang.

Hakim kemudian menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh sebutan hakam kes perceraian itu.

Adnan, menikahi Adira sebagai isteri kedua di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.

Hasil perkahwinan, Adira dan Datuk Red, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, termasuk puteri yang baharu sahaja dilahirkan dua bulan lalu.

Perkahwinan Datuk Red bersama Datin Red atau nama sebenarnya, Sharifah Norshafila Hassim mempunyai lima orang cahaya mata.

Secara keseluruhan Datuk Red mempunyai 10 orang anak.
View this post on Instagram

Ya Allah lagi skli dugaan yg kner hadapi...bgi la semua dugaan tu kepadaku ya Allah...jgn la kau sakiti anak ku... #macammacamdugaan #akutaklarat #akibatkealpaandunia #anakjadimangsa #semogaanakkusentiasadalamrahmatdanperlindunganmuaamiin

A post shared by @ dato.red on