Penyanyi baru, Syuhada tidak kisah apabila lagunya yang berjudul Bukan Dia menerima kritikan negatif sesetengah pihak.

Lagu nyanyian Syuhada atau nama sebenarnya Wan Syuhada Md Amin, 20, dicipta oleh DJ Fuzz dan Lawa Nie Geng ini dikritik kerana pengulangan lirik di bahagian korus.

“Alhamdulillah, single Bukan Dia mendapat perhatian dan maklumbalas positif banyak pihak. Ada juga yang memberikan komen negatif seperti lagu saya lagu merepek, lagu ulang-ulang dan ada juga yang mengatakan mereka menyampah mendengarkan lagu saya.

“Bagi saya sendiri, menerima komen positif dan negatif merupakan perkara normal dalam kehidupan seorang penyanyi. Saya tak kisah mengenai komen-komen negatif yang dilemparkan dan tidak mengambil berat mengenai perkara tersebut.

“Jika komen yang diterima membina, saya akan cuba perbaiki selepas ini. Komen negatif pula saya ambil untuk membangunkan semangat saya.

"Walaupun ada sesetengah pihak kurang menggemari lagu saya, ada pihak yang tetap mendengar dan menggemarinya juga,” kata Syuhada kepada Astro Gempak.

Menyelitkan elemen dangdut dalam single Bukan Dia, Syuhada menjelaskan yang rentak dangdut terinspirasi daripada program Dangdut Academy Asia (DAA) musim pertama yang disertainya tahun lalu.

“Selepas menyertai DAA di Indonesia tahun lalu, saya terfikir mahu menyelitkan elemen dangdut dalam single terbaru saya. Selepas muncul dengan single pertama yang berjudul Tanpa Kamu, saya sudah terfikir mengenai single kedua dan mahu perkara tersebut direalisasikan.

“Namun begitu, jika pendengar mendengarkan lagu Bukan Dia, ia tidaklah menampilkan 100 peratus irama dangdut. Lagu tersebut mempunyai latar muzik pop reggae yang diselitkan irama dangdut secara moderate dan sesuai dengan kehendak muzik masa kini,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal