Pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof tetap meneruskan penggambaran filem Makrifat Cinta walaupun mengalami patah tulang bahu baru-baru ini.

Menurutnya, doktor telah menasihati dirinya agar berehat di wad namun Syamsul menolak kerana kerjanya belum diselesaikan.

"Punca saya patah tulang bahu kerana ingin mengelak menghempap Nora Danish dalam satu babak letupan.

"Selepas elak dia, bahu kiri saya jatuh ke atas tempat lain tanpa sebarang tilam mahupun alas keselamatan yang lain.

"Disebabkan hentakan yang begitu kuat menyebabkan tulang bahu saya patah, pada mulanya saya ingat hanya terseliuh atau terkehel, rupanya tidak selepas berjumpa dengan doktor," kata Syamsul ketika dihubungi Astro Gempak.

Tambah Syamsul lagi, apa pun terjadi terhadap dirinya, dia perlu menghabiskan kerjanya dalam filem itu yang tinggal lagi 50 peratus.

Dia juga tidak mahu mengambil cuti kerana ia akan menyusahkan pihak produksi dan pelakon lain.

"Saya faham dengan tugas-tugas produksi, mereka juga banyak perkara yang kena selesaikan.

"Penggambaran tinggal lagi dua minggu sahaja lagi, walaupun ada aksi 'stunt' saya akan cuba lakukan sendiri tanpa digantikan dengan orang lain.

"Sekiranya saya tidak boleh buat, perbincangan dengan pengarah perlu ada untuk selesaikan babak-babak itu," ujarnya.

Menyentuh mengenai filem Makrifat Cinta, selain Nora Danish pelakon lain yang membintangi filem ini ialah Nabila Huda, Ady Putra serta Puteri Balkish.

Pengarah baru, Kamal G mengarahkan filem ini di bawah syarikat produksi Dhananwodd Films Sdn Bhd

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir