Penyanyi Maya atau nama sebenarnya Meyanaliza Ruslee, 40, akui telah menolak beberapa tawaran berlakon sejak awal tahun lalu bagi memberi fokus dalam bidang nyanyian .

Maya berkata dia bakal merakamkan sebuah single terbaharu yang bakal dilancarkan pada awal tahun hadapan.

"Banyak sebenarnya tawaran berlakon yang saya sudah tolak, semuanya kerana saya mahu memberi fokus dalam bidang nyanyian.

"Sekarang alhamdulilah, saya telah menerima jemputan nyanyian hampir setiap minggu tidak kiralah majlis korporat atau tidak formal.

"Saya rasa ini permulaan yang baik untuk saya yang mahu memberi tumpuan penuh dalam bidang nyanyian ini.

"Dalam masa yang sama, sekarang saya sedang dalam proses untuk masuk studio dan merakamkan single terbaharu.

"Insya-Allah, pada awal tahun hadapan saya akan lancarkannya," katanya kepada Astro Gempak.

Sementara itu, mengulas mengenai single terbaharunya itu Maya memberitahu dia bakal muncul dengan lagu yang mengikut trend masa kini.

"Lagu saya kali ini mungkin sedikit berbeza daripada lagu-lagu seperti Matahari kerana saya perlu akui untuk keluar lagu sekarang kita perklu ikut trend muzik dan pasaran masa kini.

"Jadi kali ini saya akan muncul dalam genre pop," katanya lagi.

Teks oleh; Syafiqah Jalal