Pelakon Gambit Saifullah akui menyesal kerana telah menolak beberapa tawaran lakonan suatu ketika dahulu.

Tambah Gambit, dia mengambil keputusan tersebut dahulu, kerana ingin aktif melakukan kerja di belakang tadbir dan menghasilkan program travelog.

“Pada tahun 2010, saya telah mengambil keputusan untuk menolak banyak tawaran dan apabila memikirkan kembali perkara itu, saya berasa agak menyesal.

"Mungkin waktu itu saya belum matang dan terlampau membuat keputusan secara terburu-buru tanpa berfikir panjang.

"Namun akibat daripada perbuatan saya yang pentingkan diri itu, ia telah menghampakan pihak stesen televisyen serta produksi,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Gambit atau nama sebenarnya Mohd Saifullah Rosli, 31, berkata, dia bersyukur kini kerana masih lagi menerima tawaran untuk berlakon.

Ditanya mengenai tawaran lakonan terbaharunya, Gambit berkata dia bersyukur kerana diberikan peluang untuk berlakon dalam filem Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng yang akan menemui penonton pada 24 November ini.

"Saya bersyukur kerana bakat yang ada ini masih dicari walaupun telah hilang untuk beberapa waktu dahulu," jelasnya.

Gambit berkata berkata demikian ketika dijumpai pada majlis tayangan perdana filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng, di Cathay Cineplex eCurve Mutiara Damansara, baru-baru ini..

Selain watak Gambit, filem ini turut dibintangi pelakon-pelakon seperti Puteri Balqis, Awie, Sarah Ali dan Remy Ishak.

Filem ini merealisasikan impian kanak-kanak untuk melihat cerita Upin dan Upin dilakonkan di alam nyata.


Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi