Pelakon Hushairi Husain bersyukur mendapat pengiktirafan menerusi filem terbitan Astro Shaw, Polis Evo.

Menerusi watak Izrail, Hushairi menerima trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 dan baru-baru ini, Hushairi menerima anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2016 (ASK 2016).

“Alhamdulillah, menerusi watak Izrail yang saya bawakan dalam filem Polis Evo, saya menerima pengiktirafan menerusi dua acara anugerah.

“Bidang lakonan telah saya jadikan sebagai kerjaya dan apabila menerima pengiktirafan sebegini, saya rasa sangat sangat bersyukur.

“Terima kasih kepada pihak Astro Shaw, tenaga produksi, rakan-rakan pelakon serta semua pihak yang menyokong saya,” kata Hushairi yang ditemui usai ASK 2016 pada Jumaat lalu.

Tidak menjangkakan dirinya tercalon dalam senarai finalis, Hushairi yang pernah membintangi filem Bunohan hanya mengetahui perkara tersebut pada petang sebelum ASK 2016 berlangsung.

“Saya tak sangka saya tersenarai sebagai finalis bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem. Setiap kali berlangsung majlis anugerah, saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk tercalon.

“Saya dapat berita mengenai pencalonan saya pada petang sebelum majlis anugerah berlangsung. Kalau saya tidak menang sekali pun, saya akan terus menjalani kehidupan seperti pelakon yang lain.

“Saya tetap akan membawakan watak dengan sebaik mungkin dan percaya kepada rezeki,” katanya mengakhiri temubual.

Teks oleh: Kamaruddin Razal