Penyanyi rap Waris mengakui bahawa hidupnya kini telah berubah sepenuhnya selepas bergelar seorang ayah.

Kata Waris, dia kini banyak menghabiskan masa untuk bersama keluarga terutama anaknya, Muddassir Muzzammil, yang kini baru berusia dua bulan.

“Alhamdulillah kehidupan saya kini telah berubah kerana sebelum ini cuma berdua bersama isteri namun sekarang ini kami telah bertiga.

"Tidak dinafikan banyak perkara baru yang saya telah pelajari seperti memakaikan anak lampin pakai buang juga sudah menjadi rutin biasa untuk saya.

"Pada waktu sekarang banyak masa saya dihabiskan untuk anak saya dan kopi kini telah menjadi teman setia,” katanya.

Tambahnya lagi, waktu tidurnya juga tidak menentu selepas bergelar ayah namun apabila melihat keletah si kecil rasa penat dan letih itu hilang.

Terdahulu, Waris atau nama sebenarnya Muzammil Alias telah berkahwin dengan isterinya, Izzati Amirah Kamaruddin pada 3 Ogos tahun lalu.

Mengulas mengenai perkembangan kerjayanya, Waris berkata dia akan tampil dengan single terbaharu berjudul Tepuk tidak lama lagi.

Waris berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album Sentuh Hatimu, di Red Box Karaoke The Gardens,baru-baru ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi