Kerana tidak tahan dikritik segelintir netizen tentang keenggananya menyertai perkhidmatan wajib tentera Korea Selatan, selebriti Running Man, Kim Jong Kook (KJK) mendedahkan foto X-ray tulang belakangnya yang bengkok.

KJK, 40, memuatnaik foto tersebut di Instagramnya sebagai jawapan kepada sesetengah netizen yang mendakwanya mengambil kesempatan untuk tidak menyertai perkhidmatan wajib tentera, kerana statusnya sebagai selebriti.

Foto X-ray tersebut dimuatnaik KJK pada awal bulan ini dan menjelaskan masalah kesihatan dialaminya, dikenali sebagai Skoliosis.

Menurut KJK yang turut dikenali sebagai SpartaKooks menerusi program Running Man, dia mempunyai tulang belakang bengkok sejak di sekolah tinggi.

“Ramai bertanya bagaimana saya melakukan senaman berat dengan bentuk tulang belakang seperti ini. Saya beritahu mereka, saya terpaksa buat sesuatu untuk menyokong lengkuk pada tulang belakang saya,” katanya.

Berserta dengan foto itu, dia menulis kapsyen #NeverComplained (tidak pernah merungut) untuk menjawab kritikan netizen.

“Mereka ambil sikap tidak mahu percaya. Tolonglah! Buatlah apa yang kamu mahu lakukan. Tiada yang mustahil jika kamu lakukan yang terbaik walaupun ada kelemahan. #Motivation (motivasi), #BPositive (jadi positif) dan #ImpossibleIsNothing (tiada yang mustahil).

Terdahulu, dia telah memuat naik foto belakang tubuhnya selepas sesi ‘workout’ di gimnasium dan ia telah mencetus pelbagai reaksi di IG.

Ada yang memuji susuk tubuhnya yang sado tetapi ada juga segelintir netizen yang mengambil kesempatan dengan memberi komen negatif dan provokasi yang dikaitkan dengan isu perkhidmatan wajib tentera.

Kata mereka, KJK tidak layak mendapat layanan istimewa untuk tidak mengikuti latihan tentera kerana tubuhnya kelihatan sempurna.

Isu tentang latihan tentera ini pernah timbul sepuluh tahun lalu dan dibangkitkan semula baru-baru ini.

Sumber: Soompi.com