Pengacara Naz menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang beranggapan, hos program makanan akan menjadi gemuk selepas mengacarakan rancangan tersebut.

Naz atau nama sebenarnya, Nazrudin Rahman, 38, berkata, dia tidak bersetuju dengan perkara tersebut dan mengganggap ia bergantung kepada individu itu dalam melakukan gaya hidup sihat.

"Bila saya buat program makanan ramai yang cakap saya akan gemuk tapi berat badan saya sehingga kini tidak naik pun.

"Bagi saya, semuanya bergantung kepada masing-masing dalam menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Jadi sebagai pengacara program makanan saya, saya ingin ubah mentaliti orang kita yang mengganggap bila makan sahaja akan gemuk," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Naz lagi, untuk memastikan tubuh badannya sentiasa sihat, dia akan pergi ke gym untuk melakukan senaman selama empat hari seminggu.

"Bagi mengelakkan pelbagai penyakit akibat gaya makanan yang tidak seimbang, saya ambil langkah untuk pergi ke gym empat hari seminggu untuk bersenam.

"Ini merupakan cara yang terbaik untuk memastikan badan saya sentiasa cergas dan sihat untuk mengelakkan diri daripada mengalami obesiti," katanya.

Sementara itu, Naz memberitahu bahawa dia akan melakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun bagi mengetahui tahap kesihatannya dari semasa ke semasa.

Katanya, perkara tersebut sangat penting untuk mengesan sebarang penyakit dari peringkat awal.

Teks: Rozaimi Zubaidi