Pemain sukan badminton terkenal China, Lin Dan memohon maaf selepas mengakui mempunyai hubungan sulit ketika isterinya hamil.

Berita itu tersebar selepas satu gambar dan klip video mesra Lin Dan bersama seorang wanita dimuatnaik di laman sosial Weibo.

Video tersebut jelas menunjukkan bintang badminton itu sedang berpelukan bersama wanita berkenaan di dalam sebuah hotel.

Bukti itu dimuatnaik oleh seorang penulis popular yang dikenali sebagai ‘Detektif Zhao’ dalam laman sosial tersebut dan mendakwa gambar itu diambil pada Oktober lalu.

Sementara itu, wanita dalam gambar berkenaan telah dikenal pasti dan merupakan seorang model serta artis di China iaitu, Zhao Yaqi.

Dalam pada itu, Lin Dan telah membuat permohonan maaf di Weibo sebaik sahaja berita itu tersebar dan menjadi viral.

"Sebagai seorang lelaki, saya tidak mahu memberikan sebarang alasan untuk mempertahankan diri saya.

“Tetapi saya akui tindakan saya ini sudah melukakan hati keluarga saya. Di sini saya ingin memohon maaf kepada mereka semua,” katanya.

Terdahulu, Lin Dan telah melangsungkan perkahwinan dengan Xie Xingfang pada 2012. Mereka kemudiannya dikurniakan anak lelaki sulung pada 5 November lalu.

Lin Dan juga merupakan juara dunia lima kali, selain pemenang pingat emas Sukan Olimpik sebanyak dua kali.

Olahan: Mya Amri

Sumber: Shanghai Daily