Pelakon Puteri Balqis mengakui watak sebagai Aqish dalam filem animasi Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! sangat mencabar.

Balqis,10, berkata dia perlu berdialog seorang diri setiap kali melakonkan adegan bersama Upin dan Ipin.

Kata Balqis lagi, pada awalnya dia berasa amat sukar untuk lakukannya kerana perlu memastikan setiap pergerakan dan dialognya sentiasa tepat bagi memudahkan kerja suntingan.

"Sebenarnya bukan mudah untuk berdialog seorang diri kerana saya harus tahu ketinggian atau paras mana apabila Upin & Ipin duduk supaya ia tidak nampak janggal dan pelik apabila watak animasi Upin dan Ipin digabungkan.

"Mula-mula saya berasa kekok seperti orang gila kerana bercakap sorang diri tetapi kelamaan ia menjadi mudah kepada saya apabila sudah memahami tenik CGI," katanya.

Tambah Balqis, dia berasa bersyukur kerana diberikan peluang untuk berlakon dalam filem arahan Erma Fatima itu kerana sejak kecil meminati siri animasi Upin & Ipin.

"Sejak saya berusia empat tahun Upin dan Ipin ialah kartun animasi kegemaran saya dan apabila ditawarkan berlakon dalam filem itu ia bagaikan mimpi," katanya.

Filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng akan ditayangkan pada 24 November depan.

Selain watak Upin & Ipin, filem ini turut dibintangi pelakon-pelakon seperti Puteri Balqis, Awie, Sarah Ali, Gambit dan Remy Ishak.

Filem ini merealisasikan impian kanak-kanak untuk melihat cerita Upin dan Upin dilakonkan di alam nyata.

Upin & Ipin Jeng Jeng adalah filem usahasama Les'Copaque Production dan KRU Studio untuk menaikkan kembali industri filem tempatan yang dilihat semakin merudum.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi