Kumpulan duo Viral yang dianggotai oleh dua beradik kembar iaitu Amzar dan Amsyar bakal melahirkan album sulung mereka sempena ulang tahun kelahiran yang ke 20.

Viral berkata, tarikh 15 November pada tahun ini merupakan detik bersejarah kepada mereka kerana berjaya mengeluarkan album pertama.

"Sebenarnya Dj Fuzz yang pilih tarikh 15 November ini untuk lancarkan album kerana ia kebetulan bersempena dengan tarikh lahir kami berdua.

"Sambutan hari lahir pada tahun ini amat bermakna kerana 20 tahun lalu mak melahirkan kami namun pada tahun ini kami pula berjaya lahirkan album sulung," katanya.

Kumpulan Viral berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album Sentuh Hatimu, di Red Box Karaoke The Gardens, pada Selasa.

Tambah Viral, mereka sangat bersyukur kerana berjaya mengeluarkan album pertama meskipun baru beberapa tahun bertapak di dalam industri nyanyian.

"Ini merupakan hadiah kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjaya nyanyian kami sejak daripada dulu.

"Sebenarnya album ini sudah siap pada tahun lalu, namun kami tunggu masa yang sesuai untuk lancarknya.

"Kerana sebelum ini kami ingin memberi fokus dalam mengeluarkan beberapa single dahulu," jelasnya.

Terdahulu, bakat mereka telah dilamar oleh komposer terkenal DJ Fuzz di laman sosial Instagram setelah memuat naik rakaman nyanyian lagu Hantu atau Buaya versi mereka, akhirnya Viral dilamar menjadi artis pertama bernaung di bawah label Octave Records.

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi