Konsert kelima GegarVaganza 3 (GV 3) berlangsung dengan meriah pada Ahad lalu.

Sembilan bintang telah menonjolkan kebolehan masing-masing dengan menyanyikan lagu tugasan untuk minggu yang bertemakan HitsVaganza.

Bersiaran secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), GV 3 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Azharina yang membawakan lagu asal nyanyian kumpulan Sheila On 7, Berhenti Berharap muncul sebagai peserta yang mendapat kutipan markah tertinggi dari tiga juri profesional, Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim selaku juri tetap serta Datuk Zainal Abidin selaku juri undangan.

Sementara itu, Shidi Data yang menyampaikan lagu Ratuku nyanyian asal Awie menjadi bintang keempat yang gegarannya terhenti di pentas GV 3.

Astro Gempak menyenaraikan 10 perkara menarik yang terjadi di konsert kelima GV 3:

1. Semua akses menuju pintu masuk dikunci ketika persembahan bermula kerana sebelum ini ada penonton yang masuk secara senyap walaupun Auditorium telah penuh. Ada diantara penonton yang berada di bahagian atas Auditorium duduk di kawasan tangga kerana tempat duduk sudah penuh.

2. Busana rekaan Hatta Dolmat yang digayakan oleh Jihan Muse pada malam tersebut sungguh cantik sekali. Ramai yang memuji busana tersebut sebagai busana yang paling cantik digayakan Jihan berbanding minggu-minggu sebelum ini.

3. Seperti biasa, sehari sebelum konsert, sesi latihan telah berlangsung di Auditorium MBSA. Apa yang mengejutkan, sesi latihan juga turut dibanjiri oleh kedatangan penonton! Penuh satu Auditorium!

4. Siti Sarah kelihatan sebak dan mengalirkan air mata ketika Datuk Khatijah Ibrahim memberikan komen selepas persembahannya menyampaikan lagu Purnama Merindu nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza.

5. Kehadiran klon Ziana Zain yang dipanggil Ziana Zain 2 mencuri perhatian penonton Auditorium MBSA. Ziana Zain 2 siap pakai gaun tau!

6. "Tok Ram dah berborak dengan Elly Mazlein ke belum?" kata Nabil yang sempat mengusik Datuk Ramli MS sewaktu iklan.

7. Gimik penjara di atas pentas sewaktu Ameng menyanyikan lagu Tiara mengundang bisik-bisik penonton. Mana taknya, Ameng baru sahaja dibebaskan dari Penjara Kluang pada Jun lalu.

8. Kemunculan Azharina setiap minggu mencuri perhatian penonton. Selepas membalut mikrofon dengan permata dan rambu ramba serta aluminium foil, kali ini Azharina tampil dengan mikrofon yang berbalut mutiara. Vazz!

9. Gimik Elly Mazlein yang seperti ingin 'menyuap' macaroon kepada Datuk Ramli MS mengundang hilai tawa penonton.

10. Ketika nama Shidi Data diumumkan sebagai bintang yang tersingkir, penonton di Auditorium seperti terkejut dan seakan tidak bersetuju dengan berita tersebut.

GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123).

Konsert minggu keenam GV 3 bakal membawa tema RockDut dan lapan bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GV 3 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @rz.works