Bekas peserta Maharaja Lawak Mega (MLM) 2018, Kamal yang juga anggota kumpulan Chilok dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terlibat dalam kemalangan petang tadi (Khamis).

Difahamkan, Kamal dibawa ke Hospital Putrajaya dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga kini dan masih belum boleh menerima pelawat.

Salah seorang anggota Chilok, Chiwan, ketika dihubungi Gempak memberitahu dia sudah berada di hospital sejak jam 4 petang tadi.

“Saya tak boleh masuk melawat Kamal lagi dan belum melihat bagaimana keadaan dia sekarang.

“Cuma tadi, pembantu perubatan ada beritahu yang kamal bernafas menggunakan mesin dan berada dalam keadaan kritikal,” katanya.

Dalam pada itu, Chiwan turut meminta orang ramai untuk terus mendoakan Kamal kembali sihat seperti sedia kala.

Perkara tersebut turut dimuat naik Chiwan di laman sosial Instagram (IG), menerusi ruangan IG Story.

“Kamal terlibat dalam kemalangan dan masih tidak sedarkan diri. Saya nak minta jasa baik kawan-kawan doakan Kamal supaya sedar seperti sedia kala.

“Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk Kamal,” tulisnya.

Selain Kamal dan Chiwan, kumpulan Chilok turut dianggotai seorang lagi pelawak dikenali sebagai Achok.