Penyanyi dan pengacara Elly Mazlein tidak serik untuk bekerjasama dengan Datuk AC Mizal pada masa akan datang selepas tular isu panggilan 'used car' ketika Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH32) baru-baru ini.

Jelas Elly, dia tidak menyimpan dendam mahupun terkilan dengan perkataan yang disampaikan dalam nada berjenaka itu.

"Saya tidak rasa serik pun untuk bergandingan dengan Datuk AC Mizal lagi. Kalau kita serik ktia akan jadi tak profesional!

"Lagipun ini periuk nasi saya, kalau sikit-sikit nak sentap dan terasa, lebih baik duduk rumah sahaja," katanya kepada Gempak.

Tambah Elly, pengacara senior itu telah memohon maaf secara peribadi dan enggan netizen memanjangkan isu itu lagi.

"Selepas kejadian itu Datuk AC telah meminta maaf secara peribadi pada saya dan saya faham itu sekadar gurauan.

"Dia terlepas cakap dan nak bergurau tapi mungkin salah penggunaan ayat.

"Jadi, saya tidak mahu mengeruhkan keadaan dan minta peminat bertenang sebab situasi spontan ketika acara secara langsung ini pasti akan berlaku," katanya.

Netizen yang tidak berpuas hati dengan gelaran 'used car' yang ditujukan kepada Elly melenting dengan tutur kata AC yang menyifatkan tindakan itu tidak sensitif.