Pengacara yang mula dikenali menerusi program hiburan HLive, Nabil Mahir bersedia untuk aktif mengembangkan bakat sebagai pelakon.

Lebih sinonim sebagai pengacara, Nabil sudah mendapatkan 'lampu hijau' untuk rancak bergiat dalam bidang lakonan.

"Sebenarnya, bapa saya hanya memberikan keizinan untuk saya bergiat dalam bidang pengacaraan sahaja. Tetapi, saya juga pernah berlakon tetapi hanya menjayakan beberapa watak kecil sahaja.

"Kini, bapa saya sudah memberikan keizinan untuk melibatkan diri dalam bidang lakonan. Jadi, saya sudah bersedia untuk aktif sebagai pelakon pula," katanya.

Nabil ditemui di majlis jalinan kerjasama antara Digital Content Connection (DCC) dan ACE Pictures di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan baru-baru ini.

BACA: Beri Sokongan Kepada Pengkarya Filem Tempatan, Digital Content Connection & ACE Pictures Jalin Kerjasama

Dalam pada itu, Nabil tidak mengimpikan untuk memegang watak hero atau teraju utama dalam sesebuah karya.

"Sejujurnya, saya masih baru dalam bidang lakonan. Banyak yang perlu saya pelajari. Apa yang penting, saya mahu mengutip ilmu sebagai seorang pelakon.

"Buat masa ini, saya tak terfikir pun nak memegang watak utama atau menjadi hero dalam sesebuah naskah. Biarlah saya bermula dari watak pembantu. Apa yang penting, saya mahu belajar dengan lebih lagi," katanya.