Dengan tiga kali lafaz pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Muhammad Ziyad Zolkefli selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya, Zafirah Md Nasir, kira-kira pukul 9.32 malam Jumaat.

Pasangan tersebut dinikahkan bapa Zafirah iaitu Md Nasir Abd Wahab dalam sebuah majlis pernikahan serba sederhana di kediaman perempuan di Nilai, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Ziyad, 26, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM3,000 berserta seutas gelang emas dan wang hantaran RM11,000 kepada Zafirah atau lebih mesra di sapa Fira.

Majlis pernikahan itu diadakan dengan kehadiran ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat kedua-dua belah pihak.

Majlis resepsi Zafirah akan berlangsung di Dewan Serbaguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Putrajaya pada Sabtu, manakala majlis menyambut menantu di sebelah pihak keluarga lelaki pula akan diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 20 November ini.

Bagi majlis persandingan pada Sabtu, pasangan mempelai ini bersepakat untuk memilih tema Minang, sementara majlis di Kuala Lumpur pula menggunakan tema tradisional dan songket.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 15 November tahun lalu.

Kisah cinta pasangan ini bermula ketika mereka menuntut di kolej swasta pada 2009.

Namun perhubungan mereka hanya bertahan selama empat bulan sahaja kerana Ziyad tidak meneruskan pengajiannya di kolej itu selepas mendapat tawaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjadi atlet sepenuh masa.

Ternyata jodoh Ziyad dan Zafirah kuat apabila hubungan mereka kemudiannya kembali bertaut pada 2011.

Sumber: mStar Online