Awal tahun lalu, statistik penyelidikan menunjukkan purata 18,000 orang gadis belasan tahun di Malaysia mengandung setiap tahun.

Daripada jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4,500 kes melibatkan kehamilan di luar nikah.

Statistik berkenaan juga menunjukkan kira-kira 14 daripada 1,000 gadis bawah umur di Malaysia hamil setiap tahun, yang menjadikan kepada purata 18,000 gadis setiap tahun.

Menurut Pakar obstetrik dan sakit puan Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr Aizura Syafinaz, masyarakat Malaysia masih sukar menerima kehamilan gadis belasan tahun.

Perkara ini amat dilarang begitu juga soal seks sebelum kahwin, sumbang mahram, rogol, penderaan seksual dan kahwin dalam usia belasan tahun.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kehamilan gadis belasan tahun adalah di mana usia si ibu berusia antara 13 dan 19 tahun.

Berhubung perkara ‘usia memberi kebenaran’ di mana individu dianggap dari segi undang-undang mampu memberi kebenaran untuk hubungan seks, usia yang dibenarkan di Malaysia ialah 16 tahun.

Individu berusia 15 tahun atau lebih muda di Malaysia dari segi undang-undang tidak boleh memberi kebenaran untuk mengadakan hubungan seksual dan kegiatan yang sedemikian boleh menyebabkan pendakwaan rogol statutori atau undang-undang tempatan yang bersamaan.

Dr Aizura Syafinaz Ahmad Adlan berkata adakah ibu bapa yang membenarkan perkahwinan anak berusia belasan tahun perlu didakwa?

Sambil menyebut peribahasa, “Biar mati anak, jangan mati adat”, beliau berkata ibu bapa akan mengamuk apabila mendapat tahu anak mereka sudah ternoda.

Bagaimanapun, mereka bukannya mencari jalan untuk menyelesaikan isu sebaliknya fikiran mereka lebih kepada cara untuk menutup malu akibat perbuatan anak mereka.

"Dalam banyak kes, remaja perempuan itu akan dihantar ke rumah pemulihan untuk melahirkan kandungannya. Ada ibu bapa yang mahu anak perempuan mereka balik ke rumah tanpa membawa bayinya kerana bagi mereka bayi luar nikah akan membawa aib kepada keluarga, “ kata Dr Aizura Syafinaz.

Apa yang sering berlaku, ibu bapa tidak akan menerima anak mereka yang mengandung di luar nikah.

Keadaan ini membuatkan ada yang sanggup membuang bayi yang dilahirkan. Data menunjukkan purata 100 bayi dibuang di seluruh negara setiap tahun.

Menurut beliau, masyarakat yang masih konservatif di negara ini masih tidak boleh menerima langkah menggunakan kondom atau pengambilan pil perancang keluarga kerana dilihat lebih kepada kaedah membenarkan seks bebas dan menggalakkkan persetubuhan haram.

"Meksipun maklumat mengenai kehamilan remaja boleh diperolehi di portal Kementerian Kesihatan 'myHEALTH' sejak 2012, tetapi sehingga penghujung November cuma menerima 34 pelawat sahaja.

Ini menunjukkan ia tidak mencapai sasaran di kalangan golongan belia,” katanya.

Sumber: BERNAMA