Pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu mengakui amat mengagumi peserta lawak solo kerana mampu membuat persembahan sendirian di hadapan penonton yang ramai.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 32, berkata, meskipun dia sering berlawak di atas pentas namun, bersendirian bukan sesuatu yang mudah.

"Saya tidak pernah melakukan lawak secara solo melainkan hari itu sekali sahaja ketika berada di dalam gelanggang Maharaja Lawak Mega 2014 lalu.

"Rasa dia memang lain macam ketika berada seorang diri di atas pentas untuk membuat persembahan tanpa kehadiran Jeff.

"Saya rasa kagum dengan mereka yang boleh melakukan lawak secara solo di atas pentas kerana berlawak seorang diri itu tak mudah. Nak buat orang ketawa dan terhibur bukan kerja senang," katanya.

Shuib berkata demikian ketika diminta untuk berkongsi pengalamannya ketika melakukan persembahan secara solo ketika ketiadaan Jep Sepahtu.

Tambahnya lagi, sebagai seorang pelawak yang lebih otai dia ingin menasihati kepada peserta lawak solo supaya lebih bersedia dari segi fizikal dan mental dalam melakukan persembahan.

"Kalau kita masuk pertandingan semua persedian harus dilakukan seperti lawak dan bahan yang hendak disampaikan kepada penonton.

"Sebenarnya untuk bertarung selain bahan-bahan seperti jalan cerita dan lawak yang hendak disampaikan mereka juga perlu mempunyai ketahanan dari segi fizikal dan mental," katanya.

Lawak Solo disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Finas, Kompleks Merdeka FINAS pada setiap hari Jumaat, ekslusif menerusi Astro Warna (saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (saluran 134), pukul 10 malam.

Lawak Solo merupakan sebuah program realiti komedi mencari pelapis untuk memeriahkan lagi dunia komedi solo yang kini dilihat semakin mendapat perhatian di kalangan peminat komedi tanah air.

Program ini dihoskan oleh Johan, manakala Fad Bocey juga turut memeriahkan Lawak Solo ini selaku hos dibelakang tabir bersama dua lagi pelawak baru laman sosial iaitu Jamal dan Zukiee.

Teks oleh: Rozaimi Zubaidi