Bintang GegarVaganza 3 (GV 3), Zarul Umbrella mengakui bahawa paras rupanya menjadi bonus untuk dirinya bertanding dalam GV 3.

“Ya, saya akui perkara tersebut menjadi bonus untuk saya dalam menyertai pertandingan nyanyian ini. Namun begitu, sebelum menyertai pertandingan ini, saya sudah menjangkakan ada pihak yang menganggap saya hanya bersandarkan pada rupa semata-mata.

“Saya simpan perkara itu di dalam minda saya dan mahu membuktikan perkara itu tidak benar. Sekurang-kurangnya, saya mahu membuktikan yang saya mampu menyanyi dan bertanding dengan penyanyi-penyanyi hebat lain di pentas GV 3,” kata Zarul kepada Astro Gempak.

Bakal berduet dengan Farahdhiya di minggu keempat GV 3 menerusi lagu Lelaki Ini, Zarul berharap agar dia dapat mencari keserasian untuk menyampaikan lagu tersebut dengan baik dan penuh penghayatan.

“Lagu tersebut merupakan lagu yang berada dalam ‘wishlist’ saya. Tapi, saya tak sangka pula saya digandingkan dengan Farahdhiya.

“Saya tidak sabar mahu mempersembahkan lagu tersebut kerana Farahdhiya merupakan seorang penyanyi yang baik dan bersikap sangat profesional. Saya berharap agar kami dapat memberikan persembahan yang baik pada malam konsert keempat nanti,” katanya lagi.

GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, pukul 9 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Konsert minggu keempat GV 3 bakal membawa tema DuetVaganza dan 10 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GV 3 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza.

Teks oleh: Kamaruddin Razal