Teka teki berhubung punca sebenar Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menutup akaun Twitter akhirnya terjawab.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh puteri kepada Raja Permaisuri Agong, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah menerusi akaun Twitternya.

Menerusi posting tersebut, Tengku Puteri Afzan memuat naik gambar memaparkan komen Raja Permaisuri Agong berhubung isu berkenaan.

Titah Raja Permaisuri Agong, dia menutup akaun tersebut bukan disebabkan sedih, terluka atau marah dengan komen sesetengah pihak.

Perkara itu sebaliknya dibuat atas alasan peribadi.

"Saya tidak baca atau sedar pun komen tersebut. Ia tiada kaitan dengan mana-mana posting.

"Saya ada sebab peribadi sendiri, tolongan jangan buat laporan polis," titahnya.
Susulan kenyataan itu, rata-rata netizen menganggap tindakan Raja Permaisuri Agong merupakan satu perkara yang sangat mulia.

Kebanyakan mereka meminta supaya orag ramai menghormati keputusan dan privasi Raja Permaisuri Agong.

Terdahulu, akaun Twitter rasmi milik Raja Permaisuri Agong tidak ditemui dan kelihatan seperti telah dinyahaktif.

Ketiadaan akaun media sosial Raja Permaisuri Agong itu telah menjadi bahan bualan ramai netizen yang turut menyatakan rasa sedih mereka.