Penyanyi dan komposer Ajai mengakui ada hikmah disebalik isu yang berlaku terhadap bekas vokalist kumpulan Exist, Mamat yang terpalit dengan isu dadah baru-baru ini.

Menurut Ajai, dia mengakui punca Mamat dibelenggu dengan penyalah gunaan dadah disebabkan oleh kurang kasih sayang.

"Apa yang berlaku ini ada hikmah disebaliknya dan disebabkan itu kami tahu dirinya yang sebenar.

"Sebagai 'brotherhood' kami akan memberinya peluang terakhir dan membantu Mamat untuk dia berubah.

"Mamat perlu bersyukur kerana masih ada orang sayangkan dia dan ambil berat pasalnya dan saya berharap agar dia boleh berubah.

"Sayang kau ada bakat, bagus dalam nyanyian tetapi kerana dadah kau rosak," kata Ajai kepada Astro Gempak.

Ajai berkata demikian pada majlis sedang media bersama Exists di Alila Bangsar, pada Khamis.

Terdahulu, Mamat ditahan polis atas kesalahan dadah pada Ahad malam dan dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis sekitar pukul 4.30 petang Selasa.

Penahanan Mamat, 41, itu difahamkan ada kaitan dengan kesalahan dadah jenis syabu semasa menunggang motosikal bersama seorang rakannya di luar kawasan rumah kedai di Taman Perling di Johor Bahru, pada Ahad lalu.

Penahanan kedua-dua mereka pada 11.30 malam itu dilakukan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang sebuah motosikal Yamaha LC 135 di kawasan terbabit.

Serbuk putih disyaki dadah itu ditemui dalam dompet penyanyi berkenaan.

Konsert Exists Reunion ini buat pertama kalinya dalam sejarah menggabungkan semua formasi asal Exists iaitu Musa (bass), Along (gitar), Ajai (keyboard), Shah (gitar), Ujang (dram) dan dua vokalist iaitu Mamat dan Ezad.

Konsert Exists Reunion bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September 2019 dan Mes Theatre at Media Corp, Singapura pada 5 Oktober ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket Konsert Exists Reunion ini boleh melayari laman web www.mytiket.asia.

Tiket dijual pada harga RM 700, RM360, RM260, RM160 dan RM130.