Chef Selebriti Amerika Syarikat, Buddy Valastro 39, memulakan perniagaan kek secara serius seawal usianya 17 tahun.

Buddy memberitahu, bapanya Bartolo Valastro, Sr. seorang pembuat kek dan minatnya mula timbul setelah banyak habiskan masa di dapur bersama-sama ketika dia masih kecil lagi.

“Ayah saya adalah superhero, saya memang minat dengan kek dan banyak belajar dengannya.

“Namun apabila usia saya mencecah 17 tahun, ayah saya meninggal dunia dan perniagaan keknya perlu diteruskan.

“Jadi saya tidak berfikir panjang, terus membuat keputusan menyambung delegasinya menjual kek kepada pelanggan yang sudah lama mengenali rasa kek kami.

“Saya berasa amat berbangga kerana berjaya membawa jenama kek keluarga kami ke dunia penyiaran TV,” jelas Buddy yang ditemui Astro Gempak di Pusat Penyiaran Asia, Bukit Jalil baru-baru ini.

Tambah Buddy lagi, walaupun siri Cake Boss dah menghampiri ke musim ke lapan untuk siaran di Asia.

Kebanyakkan episod dalam sirinya itu lebih kepada program amal kebajikan kepada kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

“Saya sangat gembira apabila ramai pihak yang datang bertemu dengan produksi Cake Boss berminat untuk membuat penajaan berupa wang tunai untuk membuat kek sebagai program amal mereka.

“Ia satu perkembangan yang sangat positif, membantu orang yang memerlukan adalah sebahagian daripada jiwa saya.

“Saya harap Cake Boss terus mendapat tempat dihati penonton dan saya perlu kreatif hasilkan kek-kek yang cantik dan menarik seiring dengan rasa yang memukau,” katanya.

Buddy memiliki enam cawangan kedai kek di Amerika yang diberi nama Carlo’ Bakery.

Antara lokasi yang dipilih ialah terletak di New Jersey, Las Vegas dan New York.

Pada tahun 2012, dia telah disenaraikan dalam 50 orang paling berpengaruh dalam Hudson County menerusi laporan Hudson Reporter.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir