Pelakon Sharnaaz Ahmad, 34 menjelaskan dia hanya mahu mencari jalan penyelesaian terbaik susulan keputusannya menolak fail penceraian dimohon isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, 34 di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Menjelaskan perkara berkenaan, Sharnaaz berkata, niatnya hanyalah untuk mencari pendamaian antara kedua-dua pihak.

"Reda atau tidak, kita ada mahkamah dan kita perlu hadap benda itu. Jika saya kata tidak setuju maknanya kita akan jadi jalan penyelesaian.

"Kenapa kahwin elok, tak kan nak cerai gaduh-gaduh," katanya.

Tambah Sharnaaz, dia juga berharap apa saja keputusan dan jalan penyelesaian akan dipermudahkan.

"Soal Jebat juga nanti saya dan pihak peguam akan kemukakan kemudian," katanya.

Terdahulu, Sharnaaz menolak tuntutan cerai difailkan oleh isterinya, Nabila ketika prosiding Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Berikutan penolakan itu, Hakim Syarie Tuan Ahmad Muttaqi Ismail memutuskan supaya kedua-duanya hadir semula ke mahkamah pada 30 September ini untuk perlantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP).

BACA: Tuntutan Cerai Ditolak, Air Mata Noor Nabila Gugur

Untuk rekod, kisah rumah tangga pasangan terbabit kembali menjadi perhatian pada 29 Ogos lalu apabila Nabila berkongsi foto dipercayai diambil di kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Perkara itu membangkitkan pelbagai spekulasi dan ada yang mendakwa Nabila memfailkan perceraian terhadap suaminya.

Malah, Nabila juga didakwa memuat naik status yang dikatakan menguatkan lagi spekulasi dirinya berdepan masalah rumah tangga.

Untuk pengetahuan anda, Sharnaaz dan Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan Jebat Jayden Ahmad pada 30 Ogos tahun lalu.