Pelakon, penyanyi dan pengacara jelita Erra Fazira menjelaskan dia mengambil pendekatan profesional untuk bekerja bersama dengan bekas suaminya, Yusry Abdul Halim.

Berkongsi skrin buat pertama kalinya semula pada rancangan All Stars Buka Panggung pada Jumaat lalu, Erra menyifatkan kenangan lalu tidak menjejaskan kredibiliti kedua-dua belah pihak.

"Kita dalam satu industri, pusing-pusing akan bersua juga sama ada satu skrin atau satu majlis.

"Kami sudah biasa terjumpa dan tak menjadi apa-apa isu pun bagi saya.

"Apatah lagi, masing-masing sudah ada kehidupan sendiri dan gembira dengan jalan yang dipilih.

"Pendekatan saya, apa yang tinggal hanyalah memori lama dan ia tidak menjejaskan apa-apa.

"Saya percaya bahagian Yusry pun sudah matang dan tak ada yang tercuit mana-mana," jelas Erra kepada Gempak.

Pada episod pertama All Stars Buka Panggung baru-baru ini, Erra dilihat sangat profesional dalam mengendalikan acara itu sebagai Dewi Seri Panggung.

Tugas Erra selain menyaksikan setiap peserta yang membuat persembahan, primadona filem Melayu itu turut memberikan komen sejurus selepas peserta selesai beraksi di pentas.

Tindakan Erra itu juga mendapat pujian ramai netizen di media sosial terutama Twitter.

Erra dan Yusry berkahwin pada Jun 2003 namun hanya bertahan tiga tahun tanpa dikurniakan cahaya mata.

All Stars Buka Panggung merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.

Program ini menampilkan Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.

Rancangan ini disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

All Stars Buka Panggung akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, pukul 9 malam secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam.