Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjelaskan markah yang diberi kepada peserta Big Stage 2019 sudah mengikut 'standard'.

Isu tersebul timbul selepas segelintir netizen tidak berpuas hati dengan markah yang diberikan Siti kepada penyanyi Indonesia, Dinda Permata yang berbeza dengan markah yang diberikan juri jemputan, Ajai pada konsert minggu ketiga.

Menurut Siti, dia tidak memberikan markah yang rendah kerana tidak ingin peserta berasa sedih serta tertekan.

"Saya memberi markah mengikut 'standard' dan setimpal dengan usaha peserta-peserta itu.

"Kalau sebelum ini, juri jemputan seperti Datuk Syaafinaz atau Ajai nak menjurikan mengikut cara mereka, itu terpulang.

"Cuma ada tahap yang markah kita berikan tidak terlalu 'downgrade' peserta kerana markah itu akan memberi semangat mereka untuk membuat persembahan.

"Minggu lepas mereka persoalkan markah yang saya berikan kepada Dinda kerana lupa lirik. Sebenarnya dia bukan lupa lirik tetapi terlalu beremosi sampai tak boleh nak menyanyi.

"Tetapi dari segi emosi, dia membawakan lagu itu dengan sangat bagus," katanya kepada Gempak.

BACA: Big Stage 2019: Aziz Tarik Diri, Dinda Terselamat.. Ini Kedudukan Peserta & Markah Keseluruhan Konsert Minggu Ke-3!

BACA: Big Stage 2019: Menangis & Lupa Lirik Atas Pentas, Dinda Permata Gagal Kawal Emosi

Siti ditemu bual selepas tamatnya konsert keempat Big Stage 2019 bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Pelantun lagu Anta Permana itu berharap semua peserta akan melakukan persembahan yang terbaik memandangkan pertandingan sudah memasuki minggu kelima.

"Beberapa minggu sahaja lagi yang tinggal. Saya harap peserta tidak mensia-siakan peluang yang ada. Terutama sekali Chaleeda Gilbert, dia perlu berusaha keras untuk terus kekal dalam pertandingan ini.

"Saya harap selepas ini mereka akan 'all out'. Setakat ini saya ada kurang daripada lima nama yang layak untuk ke pentas akhir," katanya lagi.

Sebanyak 10 peserta yang berasal dari Malaysia, Indonesia, Korea Selatan dan Thailand berentap di pentas Big Stage 2019.

Fieya Julia telah diumumkan tersingkir untuk minggu keempat.

Walaubagaimanapun, Siti mengambil keputusan menggunakan imunitinya justeru Fieya terselamat pada minggu ini.

10 peserta melangkah ke minggu kelima dan bakal mempersembahkan lagu mengikut tema Cannot Brain.

Di konsert keempat, Jaclyn Victor diundang sebagai juri jemputan bagi bergandingan bersama dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika.

Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad Big Stage 2 dibawakan kepada anda oleh Vivo dan Perodua selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.



Rancangan ditayangkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann mengacarakan Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!