Bekas vokalis kumpulan yang popular sekitar 90-an ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu.

Menerusi laporan Harian Metro, penyanyi lelaki berusia 41 tahun ditahan itu di luar kawasan rumah kedai di Taman Perling di Johor Bahru, malam semalam.

Turut sama ditahan adalah seorang lagi rakan lelaki berikutan penemuan satu paket dadah dipercayai jenis syabu.

Menurut laporan tersebut, kejadian berlaku pada jam 11.30 malam selepas kedua-dua mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang sebuah motosikal Yamaha LC 135 di kawasan terbabit.

Mereka kemudiannya ditahan sebelum polis menemui serbuk putih disyaki dadah dalam dompet penyanyi berkenaan.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit, namun enggan mengulas lanjut.

Untuk rekod, penyanyi tersebut baru menjayakan konsert reunion bersama ahli kumpulannya, selain konsert seterusnya akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam dan Singapura, Oktober ini.

Malah, dia juga sebelum ini pernah ditahan polis berkaitan dadah.