Pelakon, penyanyi dan pengacara jelita Erra Fazira tidak tahu menahu mengenai penarikan diri salah seorang bintang All Stars Buka Panggung (ASBP) episod pertama, Datin Seri Umie Aida pada saat-saat akhir.

BACA: All Stars Buka Panggung: Umie Aida Tarik Diri, Yusry Ganti 'Last Minute'! Apa Sebabnya?

Jelas Erra, dia sendiri mengetahui senarai peserta yang bertanding dalam rancangan itu sehari sebelum pertandingan berlangsung (Khamis).

"Wallahualam, saya tidak tahu. Saya sendiri dimaklumkan oleh produksi artis yang akan bertanding pada minggu sekian-sekian ialah artis sekian-sekian...

"Hakikatnya, saya sendiri pun tak tahu siapa peserta minggu ini sebab ia dirahsiakan, apatah lagi kewujudan saya sebagai Dewi Seri Panggung ini pun dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

"Saya sendiri dapat tahu senarai peserta pun sehari sebelum program berlangsung dan baru semalam (Khamis) saya dimaklumkan bahawa Umie tarik diri.

"Jadi itu diluar kotak pengetahuan saya dan diluar kawalan saya," kata Erra kepada Gempak ketika diminta mengulas mengenai kontroversi penarikan diri Umie Aida daripada rancangan terbabit.

Umie sepatutnya digandingkan bersama tiga pelakon lain iaitu Datuk Aaron Aziz, Naim Daniel dan Liyana Jasmay pada episod pertama yang berlangsung Jumaat malam.

Namun, ketiadaan Umie telah memaksa pihak produksi menggantikan dengan peserta lain iaitu Yusry Abdul Halim.

ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.

Program ini menampilkan Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.

ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Program ini akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, pukul 9 malam secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam.