Pelakon prolifik Datin Seri Umie Aida disahkan telah menarik diri saat akhir daripada bertanding dalam rancangan realiti hiburan spontan, All Stars Buka Panggung (ASBP).

Rancangan yang telah memulakan siaran pertamanya malam tadi menyaksikan ketiadaan bintang filem Dukun itu yang mana telah digantikan dengan pelakon, penyanyi dan pengarah filem Yusry Abdul Halim.

Mengulas mengenai situasi berkenaan, kata Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad, terdapat gangguan daripada segi jadual pelakon itu hingga memaksa penarikan diri saat akhir.

"Terima kasih kepada Yusry kerana bersetuju untuk mengambil bahagian pada saat-saat akhir.

"Ada sedikit gangguan daripada segi jadual. Difahamkan jadual beliau terpaksa ditukar pada saat-saat akhir untuk program lain dan tidak dapat turut serta.

"Walaubagaimanapun, sekiranya ada lagi sesi seterusnya, ada kemungkinan untuk beliau akan turut serta dan dipertimbangkan pada masa akan datang," katanya yang ditemui selepas episod pertama ASBP di Royal Teater Shah Alam malam tadi.

Sementara itu, kata Yusry, dia telah dihubungi oleh pihak produksi ASBP minggu lalu bagi memujuknya untuk turut serta dalam rancangan itu.

"Saya dihubungi pada minggu lepas dan bersetuju untuk menyertai rancangan ini. Ia memang sebuah pertandingan tetapi tidak terasa pun seperti pertandingan kerana ada kawan-kawan.

"Kami seronok apabila digandingkan di atas pentas," ujarnya.

Rancangan itu turut dikejutkan dengan kehadiran primadona filem Melayu, Erra Fazira yang bertindak sebagai Dewi Seri Panggung.

Erra bakal bersama dengan ASBP selama tujuh minggu siaran yang bertindak untuk memberikan komen kepada setiap peserta yang bertanding.

Erra akan memberikan markah dalam format 'AURA' dalam skala 1 hingga 5 kepada peserta namun markahnya tidak diambil kira memandangkan setiap pelakon bergantung pada undian peminat.

ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.

Program ini menampilkan Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.

ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Program ini akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, pukul 9 malam secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam.