Pelakon Sharnaaz Ahmad meminta isterinya, Noor Nabila Mohd Noor menjadi matang dan tidak memberikan lagi kenyataan berhubung proses perceraian mereka.

Menerusi laporan Harian Metro, dia bimbang masalah itu bertambah keruh sekali gus memberi kesan terhadap anak mereka, Jebat Jayden Ahmad yang berusia setahun.

"Saya tidak mahu isu ini berpanjangan dan biarlah mahkamah menentukan. Apabila kes dibawa di mahkamah, biar semua orang tahu siapa yang memulakannya.

"Demi anak, tolong hentikan semua ini. Sejak awal saya beritahu jangan jadikan kes ini kecoh.

"Hari ini, mungkin Jebat tidak tahu membaca, selepas lima atau enam tahun dia akan tahu dan bertanya di mana ibu dan bapanya," kata Sharnaaz.

Jika perceraian yang dimahukan Nabila, Sharnaaz memberitahu dia reda dengan ketentuan Ilahi biarpun ia bukan permintaannya.

Dalam pada itu, Nabila menegaskan keputusan untuk berpisah dicapai secara persetujuan bersama selepas usaha memperbaiki hubungan mereka menemui kegagalan.

"Saya terkejut dengan kenyataan Sharnaaz sebelum ini seolah-olah dia tidak menjangkakan permohonan cerai, sedangkan kami bersetuju bercerai secara baik, aman dan damai.

"Saya menerima surat perjanjian cerai daripada Sharnaaz pada 26 Ogos lalu dan dia meletakkan beberapa terma perceraian.

"Selepas berbincang dengan peguam, kami bersetuju memfailkan kes di mahkamah pada 27 Ogos," katanya.

Nabila telah memuat naik sekeping foto, dipercayai di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Nabila berkongsi foto terbabit di laman Instagram Story miliknya.

Dalam pada itu, Nabila juga turut memuat naik kata-kata yang menguatkan spekulasi yang dirinya kini berhadapan dengan masalah rumah tangga.

BACA: Muat Naik Foto Di Mahkamah Syariah, Noor Nabila Fail Perceraian?

Sebelum ini, perkahwinan antara Sharnaaz dan Nabila dikatakan pernah berdepan masalah bermula Februari lalu.

BACA: Enggan Ulas Lanjut Isu Rumah Tangga, Sharnaaz Ahmad Takut Keruhkan Keadaan

Namun, perhubungan mereka dilihat semakin pulih, sejak Mei lepas.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Jebat Jayden, pada Ogos tahun lalu.


Sumber: Harian Metro