Penyanyi Elly Mazlein mendedahkan sikap yang bakal suaminya yang disifatkan mempunyai daya penarik.

Menurut Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina, biarpun perbezaan usia dirinya dan bakal suami yang mencecah 10 tahun, sikap matang jejaka tersebut menarik perhatiannya.

“Dia pun pandai ambil hati saya dan anak saya, Putri Sara Sefhia. Itu jugalah antara salah satu penguat cinta saya pada kekasih hati.

“Dia juga sangat rapat dengan ayah saya. Dialah yang menjaga ayah saya sekarang dan ayah saya pun sayang sangat dengan dia. Ciri-ciri inilah penyebab kenapa saya pilih dia,” ujar Elly kepada Gempak.

Elly ditemui ketika membuat kemunculan istimewa pada majlis jualan Bazar Merdeka Habib yang bertempat di Habib Ampang Point, Kuala Lumpur pada Jumaat.



Enggan mendedahkan siapakah gerangan jejaka bertuah tersebut sehingga tiba masa yang sesuai, Elly tidak mahu mengenang memori lama dan teruja untuk menempuh fasa baru.

“Saya nak berterima kasih pada bakal suami kerana akan mengadakan lima majlis pada hari bahagia kami nanti.

“Ia akan dimulai dengan upacara merisik dalam masa terdekat, ia diikuti dengan majlis bertunang, majlis berinai, majlis nikah sanding serta majlis menyambut menantu di Kelantan kelak,” kata Kak Lina teruja.

Elly yang popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah drama, Azmi Hatta pada November 2014.

Bagaimanapun, pasangan ini bercerai pada 15 Oktober 2015 ketika Elly hamil empat bulan.