FILEM: Anguish

PELAKON: Ryan Simpkins, Annika Marks, Amberley Gridley, Karina Logue

PENGARAH: Sonny Mallhi

GENRE: Seram

DURASI: 90 Minit

TAYANGAN: 10 November 2016

Filem Anguish merupakan filem arahan pengarah Sonny Mallhi, diinspirasikan menerusi kisah benar seorang gadis yang mengalami masalah kemurungan kronik sehingga menyebabkan dia diganggu oleh makhluk halus.

Berpeluang menonton filem tersebut baru-baru ini penulis merasakan pengarah begitu bijak mewujudkan suasana seram dengan pemilihan efek bunyi yang bersesuaian membuatkan penonton berdebar menunggu babak seterusnya.

Tidak dilupakan peranan pelakon Ryan Simpkins yang membawakan watak Tess antara faktor penting dalam filem tersebut memandangkan dia merupakan watak utama.

Walaupun tidak mempunyai begitu banyak dialog namun dengan hanya menunjukkan ekspresi mukanya saja sudah mampu membuatkan penonton merasai ketakutan yang dialami.

Sebagai contoh, babak Tess yang mula diganggu dengan bunyi-bunyian aneh dan juga jelmaan puluhan tapak tangan di bahagian tingkap biliknya seolah-oleh meminta pertolongan selepas menemui kubur Lucy.

Pada pendapat penulis, selain plot penceritaan, nilai pengajaran dan elemen kasih sayang yang ditunjukkan oleh pengarah dalam filem ini juga harus diberikan pujian.

Tidak memfokuskan mengenai makhluk halus semata-mata tetapi filem ini juga menceritakan tentang bagaimana pengorbanan seorang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan anaknya selamat walaupun dirinya berada dalam keadaan tertekan.

Perkara ini jelas ditunjukkan melalui watak Jessica yang tabah menjaga Tess selepas anaknya dirasuk dan bertindak ganas sehingga mencederakan dirinya.

Walaupun Jessica tidak percaya dengan kewujudan makhluk halus dan menganggap kelakuan pelik anaknya itu kerana disebabkan masalah kemurungan namun dia tetap mencari inisiatif lain seperti bertemu paderi untuk mengubati anaknya.

Dalam pada itu satu lagi nilai pengajaran yang boleh didapati melalui filem ini ialah kedegilan seorang anak terhadap ibunya boleh membawa padah.

Perkara itu ditonjolkan menerusi watak Lucy yang tidak mendengar kata ibunya, Sarah sehingga menyebabkan berlakunya pertengkaran dan memaksa ibunya memberhentikan kereta dibahu jalan.

Lucy yang berang dengan ibunya telah mengambil tindakan drastik dengan membuka pintu kereta sebelum dia dilanggar dengan tragis oleh sebuah van.

Secara kesimpulannya, peminat filem seram tidak patut melepaskan peluang untuk menyaksikan naskah tersebut di pawagam.

Teks oleh: Mya Amri