Pelakon Aishah Azman mengakui tidak trauma dengan kaum lelaki atau serik untuk bercinta lagi selepas melalui episod duka dalam ikatan pertunangan.

Hubungan pertunangan Aishah dengan aktor Syafie Naswip yang dibina pada 7 April lalu putus di tengah jalan.

"Saya tak trauma dengan lelaki atau tak serik mahu bercinta. Tapi, buat masa ini biarlah saya bersendirian dahulu.

"Saya mahu kembali memberikan fokus terhadap kerjaya dalam bidang lakonan dan mahu memacu semula karier saya," jelas Aishah.

Pelakon drama bersiri Namaku Bedah ini juga enggan mengulas lanjut mengenai kes yang dihadapi olehnya dengan bekas tunang.

"Saya tak nak bercakap atau ulas lanjut. Semuanya masih dalam siasatan. Biarlah pihak berwajib menjalankan tugas mereka.

"Saya tak mahu buka mulut atau memberikan sebarang komen. Biarlah semuanya selesai terlebih dahulu," katanya yang ditemui di malam gala filem Sangkar di e@Curve, Petaling Jaya baru-baru ini.

BACA: Isu Putus Tunang: "Jangan Kaitkan Keluarga Saya!" - Aishah Azman

Sebelum ini, dunia hiburan dihebohkan dengan berita mengenai seorang pelakon lelaki yang ditahan polis selepas membelasah bekas tunangnya kerana berang apabila wanita itu memintanya memutuskan hubungan songsang dengan kenalannya, 26 Jun lalu.

Netizen mula berspekulasi dan mendakwa Syafie merupakan individu yang dimaksudkan kerana dia baru saja putus tunang dengan Aishah.

Pelakon filem Mukhsin itu menerima serangan komen 'tentera bawang' di laman Instagram miliknya gara-gara didakwa membelasah bekas tunangnya.