Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, sebuah dokumentari yang menceritakan mengenai hari yang mengubah negara kita bakal ditayangkan.

Dengan judul 'M for Malaysia', naskah ini menampilkan dokumentasi mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang menyaksikan rakyat Malaysia memilih untuk tidak lagi bersama kerajaan yang telah memerintah selama 61 tahun.

Lebih setahun berlalu, kita mendengar banyak komen, debat, analisis dan cerita mengenai tarikh keramat terbabit.



Namun begitu, pastinya ramai yang tidak mengetahui apakah sebenarnya yang sedang berlaku menerusi sudut pandang Perdana Menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad (Tun M) sepanjang kempen PRU 14 itu.

Karya ini memberikan sesuatu yang berbeza dan belum pernah diketahui mengenai perjuangan Tun M dengan Pakatan Harapan.


Diarahkan oleh Dian Lee dan Ineza Roussille, dokumentari ini akan menampilkan Tun M dalam misi untuk menewaskan kerajaan yang memerintah Malaysia semenjak kemerdekaan selama 61 tahun.

'M for Malaysia' yang pernah ditayangkan di CAAM Festival 2019 di San Francisco dan DocEdge Film Festival 2019 di New Zealand turut menampilkan Datin Paduka Marina Mahathir sebagai Penerbit Eksekutif dan pemenang Oscar, Ruby Yang selaku Penerbit Kreatif.

'M for Malaysia' akan ditayangkan secara eksklusif bermula 12 sehingga 15 September di pawagam terpilih seluruh Malaysia... Klik di SINI untuk menyemak senarai pawagam.

Untuk lebih informasi, layari laman web rasmi 'M for Malaysia' di https://www.mformalaysia.com/.