Untuk menghargai peminat yang sentiasa menyokong jatuh bangunnya sepanjang 40 tahun bergelar anak seni, Datuk M. Nasir bakal menghadiahkan sebuah konsert solo berskala besar pada 23 November ini.

Konsert tersebut yang dinamakan sebagai “M. Nasir Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan” itu dijadualkan berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Penyanyi dan komposer popular itu bakal mempersembahkan lagu-lagu malar segar yang dinyanyikan dan dicipta beliau dari kemunculan pertama pada 1979 sehingga kini.

“Saya akan menyanyikan 30 buah lagu dalam konsert yang berdurasi 2 jam 30 minit itu nanti. Jika ditanya lagu apa yang akan saya pilih, sebenarnya terlalu banyak.

“Ada juga yang minta saya nyanyikan lagu-lagu yang pernah saya ciptakan untuk penyanyi lain. Dan akan ada satu sesi untuk itu.

“Rasanya akan ada sesetengah lagu yang orang pun tak tahu itu saya yang tulis,” katanya kepada Gempak.

Ketika ditanya mengapa dirinya tidak pernah membawa artis jemputan dalam setiap konsert dianjurkan, M.Nasir ada sebab tersendiri.

“Rasanya tidak perlu penyanyi jemputan kerana melalui konsertlah saya berpeluang memberi masa dan bertemu dengan peminat saya.

“Ada atau tidak penyanyi jemputan, rasanya sama sahaja. Konsert M.Nasir tetap berjalan seperti biasa,” katanya.

M.Nasir ditemui pada sidang media Konsert M Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan di Alila, Bangsar, Kuala Lumpur, pada petang Isnin.

Turut hadir pada majlis tersebut penganjur dan Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn. Bhd., Shirazdeen Karim.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket pada harga antara RM160 sehingga RM860 bermula jam 2 petang pada 28 Ogos (hari ini) dengan melayari laman sesawang www.myticket.asia.