Rasanya kalau bercerita mengenai majlis perkahwinan pasti ramai yang teruja lebih-lebih lagi ianya seakan menjadi topik harian di kalangan rakyat Malaysia.

Tambah-tambah sekiranya perkahwinan itu melibatkan pasangan dari golongan ternama seperti artis, ahli sukan, tokoh politik dan kerabat diraja.

Di Malaysia, perkahwinan artis atau selebriti adalah sesuatu yang menjadi `cakap-cakap` umum seperti Apakah konsep perkahwinan tersebut? Berapakah nilai hantarannya? Cantik atau tidak persalinan pasangan pengantin itu? Segalanya akan diperbincangkan.

Namun ianya bergantung kepada kemeriahan sesebuah majls perkahwinan sehingga ianya boleh dilabelkan sebagai ‘Wedding Of The Year’.

Di bawah ini, Astro Gempak telah menyenaraikan lima pilihan perkahwinan selebriti paling sensasi di Malaysia. Jom kita soroti sekarang:

Perkahwinan Dengan Hantaran Paling Tinggi

Mauzin Hamzah Dan Pengiran Sufri (11 Disember 1987)

Jika anda masih ingat penyanyi dan pemain drum kumpulan Quinary M iaitu Mauzin ( mazuin) Hamzah yang mendirikan rumahtangga dengan kerabat diraja Brunei iaitu Pengiran Muda Sufri Bolkiah dengan wang hantaran bernilai satu juta ringgit. Apa yang menarik Mazuin juga menjadi artis wanita pertama yang mendirikan rumahtangga dengan kerabat diraja paling kaya di dunia. Walau bagaimanapun selepas 17 tahun berkahwin akhinrya mereka mengambil keputusan bercerai.

Perkahwinan Diserbu Ramai Tanpa Undangan

Ziana Zain dan Armin Zaharin (2 Mei 1998)

Artis bersuara lantang, Ziana Zain memang cukup popular pada tahun 90an dan tidak dinafikan sehingga kini kekal menjadi kesayangan ramai. Menarik mengenai perkahwinan kakak kepada Anuar Zain ini ialah apabila majlis perkahwinan dengan suaminya yang juga seorang kakitangan MAS telah diserbu hampir 15,000 peminat yang tidak diundang!

Dek kerana perkahwinan Ziana Zain, Fauziah atau Ogy Dato Ahmad Daud yang ketika itu adalah pengacara Melodi telah disaman Azwan Ali kerana mendakwa Azwan kononnya makan hati kerana penyanyi kegemarannya itu sudah berkahwin.

Perkahwinan Duda Paling Laku Di Malaysia

Datuk M. Nasir Dan Marlia Musa (31 Ogos 2000)

Siapa yang tidak terpesona dengan karisma yang dimiliki penyanyi dan komposer terkenal kelahiran Singapura, Datuk M. Nasir. Selepas pemergian isterinya, Allahyarhamah Junainah Johari, rasanya ramai wanita yang cuba mendampingi vokalis kumpulan Kembara ini.

Namun pada tahun 2000, dunia hiburan dikejutkan dengan berita M. Nasir bakal bernikah dengan pelakon Marlia Musa yang diakui merupakan cinta pertamanya. Perkahwinan mereka bagaimanapun turut mencetuskan kontroversi kerana ibu Marlia Musa dilaporkan tidak berkenan M Nasir menjadi menantunya. Bagaimanapun perkahwinan mereka tetap berlangsung dan diserikan dengan mas kahwin berupa tiga belas keping wang dinar bernilai RM2,000.

Perkahwinan Wedding Of The Year Yang Ditaja Paling Singkat

Erra Fazira dan Yusry KRU (15 Mac 2003)

Ramai yang melabelkan meraka sebagai pasangan yang ideal dek kecantikan semulajadi yang Erra Fazira serta ketampanan yang dimiliki Yusry KRU. Sebaik saja kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga, ramai pihak yang mahu menaja perkahwinan Erra dan Yusry.

Malah sewaktu di hari persandingan mereka yang berlangsung di Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak, ianya telah dihadiri hampir 10,000 peminat dan diumumkan sebagai ‘Wedding of the Year 2003’. Menarik mengenai perkahwinan Erra dan Yusry adalah mereka menggunakan tarikh unik seperti hari pernikahan 15-3-2003, wang hantaran bernilai RM33,333.33.

Malangnya perkahwinan mereka tidak bertahan lama dan akhirnya berpisah secara rasmi pada 16 Jun 2006.

Perkahwinan Yang Paling Dinanti-nantikan Ramai

Dato’ Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohamed Jiwa (21 Ogos 2006)

Siapa tidak suka dengan penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza. Selepas berbulan-bulan wujudnya spekulasi mengenai hubungan Dato, Siti dengan Datuk K di media hiburan tempatan, akhirnya Siti membuat sidang media mengumumkan bahawa dia bakal berkahwin dengan duda tersebut. Sidang media tersebut diadakan selepas sehari Dato'K menyelesaikan kes cerai dan pembahagian harta di mahkamah dengan bekas isterinya. Maka ramai kaum adam yang ‘makan hati’ dan kecewa dengan pilihan Siti Nurhaliza.

Pertunangan mereka berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan dan turut disiarkan menerusi televisyen manakala majlis perkahwinan mereka diadakan di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) dan ditonton seramai 6.3 juta di Malaysia dan Indonesia.

Teks Oleh: Khalid Rahman