Penyanyi nasyid kumpulan UNIC, Fakhrul yang merupakan anggota kumpulan UNI di Muzikal Lawak Superstar (MLS) mengakui dirinya bukanlah seorang yang kelakar.

Malah kata Fakhrul, dia berasa gementar ketika ditawarkan untuk memasuki MLS.

“Mula-mula Fad menghubungi saya untuk masuk MLS, sejak dari awal lagi dah kata saya tak kelakar tapi mereka berjaya yakinkan saya.

“Mereka mahu melawak sambil menyelitkan unsur-unsur dakwah dan juga mesej yang berguna jadi saya pun setuju.

“Sebab itu bila ada yang komen kata saya ni seorang yang lucu, saya rasa macam tak percaya.

“Apa-apa pun saya rasa sangat bersyukur apabila kehadiran saya dalam MLS diterima baik oleh penonton,” katanya kepada Gempak.

Mengulas mengenai penglibatannya, Fakhrul berkata dia mahu mencuba bidang kerjaya yang baru.

“Saya pun bermula dengan menjadi qari, penyanyi nasyid, pengacara dan tiba-tiba tahun ni ada peluang cuba dalam bidang komedi jadi saya terima.

“Saya rasa ini satu peluang yang sangat baik dan saya juga jenis suka cuba benda baru.

“Ramai yang terkejut dengan penglibatan saya tetapi ramai juga yang memberikan komen positif.

“Tidak hanya sekadar melawak kosong, platfom komedi ini juga boleh dijadikan sebagai salah satu medium untuk menyampaikan mesej dakwah.

“Netizen sekarang pun sudah semakin bijak, mereka bukan hanya mahukan yang sekadar gelak sebaliknya komedi bermesej,” jelasnya.

Terdahulu, Fakhrul merupakan anggota kumpulan UNI bersama Fad Bocey dan Atu Zero.

MLS akan bersiaran selama 10 minggu, setiap Jumaat, jam 9 malam secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Program ini juga disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Untuk mengundi bintang, undian boleh dilakukan secara:

1.Undian boleh dilakukan di gempak.com/muzikallawaksuperstar

2.Taip MLSNAMA KUMPULAN atau MLS (3/5/10/20)NAMA KUMPULAN untuk (3/5/10/20) undian ke 32777.

Untuk perkembangan terkini program Muzikal Lawak Superstar, layari www.muzikallawaksuperstar.gempak.com.