Astro Gempak ucapkan tahniah kepada bekas vokalis kumpulan Exist, Ezad Lazim kerana baru sahaja menimang cahaya mata kedua di Hospital Ampang beberapa hari lalu.

Bayi lelaki comel seberat 2.9 kilogram itu diberi nama Muhammad Darwish.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim telah berkongsi dua keping foto terbaru anak keduanya itu menerusi akaun Instagramnya khas buat tatapan peminat.

Menerusi foto tersebut, jelas sekali terpancar wajah kegembiraan seorang bapa yang sedang mendukung dan mencium anaknya dengan penuh kasih sayang.

Malah ucapan ringkas Ezad juga sudah cukup membuktikan bertapa bersyukur dia dengan anugerah bernilai yang dikurniakan kepadanya.

“Alhamdulillah .... cahaya mata kami.... Alhamdulillah. ... putera sulung ku....” tulisnya.



Foto tersebut telah menerima begitu banyak ucapan tahniah daripada peminat dan rata-ratanya mendoakan supaya isteri dan anaknya itu berada dalam keadaan sihat.

Terdahulu pasangan Ezad dan Nor Azeana selamat bernikah pada 30 Mac 2013 dan dikurniakan anak perempuan, Puteri Rania Keisha yang kini berusia dua tahun.

Namun, pada Februari lalu Azeana disahkan mengidap ketumbuhan selepas melakukan pemeriksaan sebaik pulang mengerjakan umrah selepas sering mengalami sakit perut.

Azeana bagaimanapun nekad untuk melahirkan anak kedua walaupun sedang menghidap kanser Ketumbuhan Stroma Gastrousus (GIST).

Teks Oleh: Mya Amri