Gara-gara menyebar berita palsu mengenai kematian pelakon Pekin Ibrahim, seorang pengguna laman sosial Twitter ‘Atoi KL Troopers’ dikecam netizen.

Atoi telah memuatnaik status tentang perkara tersebut di akaun Twitter miliknya kira-kira jam 2 petang Jumaat.

Twit pertama Atoi yang telah mengejutkan ramai pihak itu ialah “Alfatihah utk saudara ku @pekinibrahim7W yang telah menemui penciptanya sebentar tadi.”

Tidak berhenti di situ Atoi juga telah memuat naik beberapa lagi status kononnya Pekin meninggal dunia ketika tidur dan punca kematian aktor tersebut adalah disebabkan penyakit barah otak.

Mungkin untuk menampakkan berita tersebut benar, Atoi turut memberitahu para pengikut di Twitter, jenazah Pekin akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kelantan.

Bagaimanapun, perbuatan tidak bertanggungjawab pemuda tersebut telah mengundang kemarahan netizen yang bertindak mengecam dan mendakwa dia sengaja mencari publisiti murahan untuk menambah bilangan ‘followers’ di Twitter.

Sementara itu Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 34, akui terkilan dengan tindakan sesetengah pihak yang menyalah gunakan medium media sosial untuk menyebarkan informasi palsu.

“Saya terkejut dan terus menelefon ibu di kampung untuk memaklumkan mengenai berita palsu itu,” katanya.

Ketika ditanya samada dia mengenali Atoi atau tidak, Pekin memberitahu mengenali pemuda tersebut yang merupakan seorang pengikut ‘skinhead’.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin