Pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 2015 (#AF2015) Bila, tidak pernah menyangka akan melangkah ke konsert akhir program realiti itu.


Bila atau nama sebenarnya Nurnajmi Nabila Samsaidi, 19, berkata pada mulanya rasa rendah diri berada di akademi sangat menebal dalam dirinya.

Namun, kehadiran ibu dan ayahnya ke konsert saban minggu telah menaikkan semangatnya untuk terus membuat persembahan terbaik.

“Bila tak sangka dapat bergelar top 4 #AF2015 kerana menyangka penonton tak dapat menerima fizikal Bila.

“Alhamdulillah, berkat doa ‘mommy dan daddy’, Bila berjaya sampai ke tahap ini. Bila tak kecewa pun tidak bergelar juara kerana dapat ke final #AF2015 pun dah cukup baik.

"Tadi semasa 'mommy dan daddy' naik ke pentas mereka beritahu bangga dengan Bila hari ini,” katanya ketika ditemui Astro Gempak selepas konsert akhir #AF2015, pada Ahad.

Tambah anak kepada pemain bass kumpulan Wings itu lagi wang kemenangannya berjumlah RM20,000 akan digunakan untuk membantu keluarganya.

“Memang niat Bila menyertai #AF2015 untuk bantu keluarga Bila. Paling seronok apabila memenangi pakej percutian ke Dubai dan Bila mahu bawa ‘mommy dan daddy’ bercuti bersama nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu Bila turut mengucapkan terima kasih kepada para pengudi , tenaga pengajar dan juri #AF2015 yang telah memberi kepercayaan kepadanya.

Pada konsert akhir #AF2015 Bila telah menerima sebanyak 19% undian dan menerima wang kemenangan berjumlah RM20,000, pakej percutian ke Dubai tajaan HNH Tours Sdn Bhd dan sebuah trofi #AF2015 sumbangan Astro.


Teks Oleh: Hafiza Kamarudin