Tiada penyingkiran berlaku pada minggu pertama konsert Gegar Vaganza 2 (GV2) sekaligus melayakkan 12 peserta ke pusingan seterusnya.


Pusingan penyingkiran GV2 yang menggunakan konsep terbaru itu menyaksikan vokalis Sweetchild, Acong hampir disingkirkan.

Bagaimanapun Achong atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Manat, menarik nafas lega apabila diumumkan tidak tersingkir oleh pengacara GV2 Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Acong berkata dia menyangkakan perjalanannya di GV2 sudah berakhir dan agak kecewa pada mulanya.

“Mula-mula lagi saya dah ‘frust’ apabila lampu terpadam ketika juri (Faizal Hussein) memberikan komen. Ketika itu saya fikir, kenapa masalah teknikal berlaku bila tiba giliran saya.

“Selepas itu di akhir konsert nama saya tidak disebut dan sehingga terdetik di hati yang saya memang bernasib malang,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media GV2 pada malam Ahad.

Tambah Acong yang menyanyikan lagu popular Sweetchild ‘Tinggallah Sayang Tinggallah Pujaan itu, perkara yang tidak dapat dilupakan sebelum menyertai Gegar Vaganza apabila terpaksa menipu ahli kumpulannya.

“Saya terpaksa menipu mereka (kumpulan Sweetchild) mengenai penyertaan saya dalam GV2 ini kerana Astro meminta saya tidak mendedahkan perkara tersebut kepada sesiapa.

“Akhirnya mereka tahu selepas melihat iklan GV2 di kaca TV dan terus menghubungi saya dan ucap tahniah,” katanya yang turut mendapat sokongan penuh daripada rakan-rakan pelawak.

Konsert pertama GV2 bertemakan ‘Kembali Menyengat’ telah disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MDSA).

Ia turut disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) bermula jam 9 malam.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin