Pelakon dan usahawan Fizo Omar berkongsi sebuah rakaman video sebelum berangkat mengerjakan ibadah haji di akaun Instagram (IG) miliknya.

Video tersebut menunjukkan perjalanan Fizo daripada rumahnya menuju ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

"Salam Aidiladha buat semua. Sedikit coretan perjalanan saya sebelum berangkat ke Makkah..

"Alhamdulillah terima kasih kepada semua yang mendoakan saya & inshaAllah saya juga mendoakan anda semua sepanjang keberadaan saya di bumi Mekah", tulisnya.

Menerusi rakaman tersebut, Fizo kelihatan menitiskan air mata sewaktu ingin berpisah dengan ahli keluarga serta anak perempuannya, Wan Maryam.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata pengikut Fizo turut sama berasa sedih selepas menonton.


Malah ada segelintir peminat mendoakan semoga Fizo dan bekas isteri, Mawar Karim kembali bersama.

Fizo menceraikan Mawar dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada 10 Julai lalu,

Perkahwinan pasangan itu mula dikatakan berdepan dengan masalah dan menjadi bualan hangat netizen apabila Fizo menyambut Aidilfitri berasingan dengan isteri dan anak.

Fizo dan Mawar mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.

Selain Fizo, beberapa selebriti Malaysia turut berkesempatan melaksanakan rukun Islam kelima tersebut, iaitu Neelofa, Erra Fazira, Aris Ariwatan, Wany Hasrita, Amira Othman dan Ashraf Muslim.