Sejak semalam (Selasa) beberapa keping foto yang menunjukkan Kuala Lumpur sedang dilanda ‘jerebu kuning’ telah menjadi viral di media sosial khususnya menerusi aplikasi ‘Whatsapp’.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyangkal dakwaan tersebut dan meminta orang ramai tidak mempercayai khabar angin itu, lapor Malaysian Digest.

Hasil pemantauan JAS, sepanjang Malaysia dilanda jerebu bacaan kepekatan karbon monoksida (CO) adalah rendah dan kurang dari 'Recommended Malaysia Air Quality Guidelines' iaitu di bawah 30 ppm (1 jam) atau 35 mikrogram per meter padu (1 jam).

Oleh itu, ia tidak menyebabkan fenomena jerebu bewarna kuning.

Sehingga jam 5 petang Selasa, terdapat 25 kawasan yang mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat.

Bagaimanapun, bacaan IPU di 25 buah kawasan tersebut masih berada di bawah paras 200 dengan Pelabuhan Klang mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 178.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat bacaan IPU terkini dan rasmi di laman web JAS di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau memuat turun aplikasi telefon pintar MyIPU di 'Google Play' atau 'App Store'.


Olahan Semula: Hafiza Kamarudin

Sumber: Malaysian Digest