Pengacara Neelofa mendedahkan perjalanannya untuk menunaikan ibadah haji bersama jemaah lain tergendala selama dua hari kerana mempunyai masalah visa.

Walaubagaimanapun, menurut Neelofa, masalah tersebut telah dapat diselesaikan dan mereka dijangka akan berangkat ke Makkah hari ini.

"Mungkin ramai yang belum tahu yang saya dan ramai jemaah lain tak dapat berangkat ke Jeddah dua malam lepas atas masalah visa.

"Alhamdulillah setelah hampir dua hari, akhirnya masalah visa diselesaikan dan Insya-Allah akan ke Makkah esok," tulisnya.



Pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor itu berkata, masalah terbabit dapat diselesaikan disebabkan ramai pihak yang telah menolongnya.

Namun, Neelofa tidak mendedahkan nama mereka yang telah membantu menyelesaikan isu tersebut.

"Ramai yang sudi membantu dan selesaikan dengan penuh ikhlas. Tak pasti jika tuan-tuan badan bagi keizinan untuk saya sebut satu persatu, dengan bantuan mereka Allah permudahkan untuk saya menjadi tetamu-Nya sekali lagi," tulisnya lagi.



Perkongsian itu telah dibuat menerusi Instagram Stories miliknya namun telah dipadamkan selepas beberapa minit.

Neelofa bersama ahli keluarganya sepatutnya berangkat menunaikan ibadah haji pada 4 Ogos lalu.