Pelakon Mira Filzah memberitahu dia boleh menerima netizen yang menganggap wajahnya seperti kayu tetapi bukan menghantar komen serta mesej lucah.

Mira Filzah atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 26, berkata, dia terpaksa mengambil tindakan menyekat individu yang menghantar mesej dan komen sedemikian, selain memadam komen berunsur lucah.

Menurut Mira, dia boleh bersabar sekiranya fizikal dan lakonannya dikecam, tetapi enggan bertoleransi dengan komen serta mesej lucah.

"Saya boleh terima jika ada netizen yang menganggap muka saya seperti kayu, tetapi bukan menghantar mesej dan komen lucah.

"Pada kebiasaannya, saya akan terus padam komen sebegitu, jika ia melibatkan mesej, saya akan menyekat individu tersebut," katanya kepada Kosmo! Online.

Pelakon Lelaki Kiriman Tuhan itu berkata, dia bagaimanapun tidak pernah bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang kerana komen berunsur lucah tersebut tidak mengganggu kerjaya.

"Setakat ini saya belum bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap komen sedemikian. Apabila terlalu melampau, mungkin saya akan ambil tindakan selanjutnya," katanya lagi.

Sumber: Kosmo! Online