Dengar saja perkataan Hip Hop, pastinya kita terbayangkan nama-nama besar arena muzik Hip Hop tempatan seperti Malique, Joe Flizzow, Altimet, Alif, SonaOne, Caprice dan ramai lagi.

Lazimnya penyanyi Hip Hop tempatan mucul secara solo, duo atau trio, jarang sekali mereka muncul secara berkumpulan yang lebih daripada lima orang anggota.

Kemunculan kumpulan Hip Hop yang dikenali sebagai K-Clique dan dianggotai lapan anak muda berasal daripada Kota Kinabalu pastinya mencipta kelainan dan mampu memenuhi citarasa pendengar Hip Hop tempatan.

Kumpulan yang tidak asing dikalangan peminat muzik Hip Hop tempatan ini berasal daripada Kota Kinabalu, Sabah ini dianggotai MK, Noki, Tuju, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello, dan NastyNas.

Sungguhpun hanya bergerak secara ‘underground’ dan lebih dikenali dikalangan peminat Hip Hop tempatan namun kumpulan ini masih boleh berbangga apabila barisan lagu mereka seperti ‘Lane Lain Line’, ‘Sah Tu Satu’, ‘Licik’ dan ‘Warna’ berjaya menjana jutaan tontonan di YouTube.

Ia menjadikan K-Clique sebuah kumpulan Hip Hop tempatan yang berpotensi besar untuk melangkah jauh dalam arena muzik arus perdana di peringkat tempatan mahupun di peringkat antarabangsa.

Bagi meneruskan momentum kerjaya seni mereka dan memperkenalkan nama dan muzik mereka kepada peminat muzik arus perdana tempatan, K-Clique kini muncul dengan single terbaru mereka berjudul 'Mimpi' dengan penampilan istimewa rapper dan penerbit tersohor Alif.

'Mimpi' merupakan hasil ciptaan Alif bersama sebahagian besar anggota K-Clique sendiri seperti MK, Gnello, Noki, FareedPF, Tuju dan Somean.


'Mimpi' merupakan terbitan Black Hat Cat Records (BHC), sebuah syarikat rakaman yang ditubuhkan bagi bertujuan memartabatkan genre ‘urban music’ di Malaysia. K-Clique merupakan artis pertama bernaung di bawah BHC.

Single 'Mimpi' terbitan Black Hat Cat Records dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula hari ini, 5 Julai 2019.