Penyanyi dan pelakon popular Awie menyerahkan kepada anak-anaknya untuk memilih ibu tiri mereka, sekiranya ditakdirkan berumah tangga selepas ini.

Vokalis kumpulan Wings itu berkata, dia membuat keputusan tersebut kerana mahu seorang wanita yang boleh menjaga anak-anaknya dengan baik.

“Ajal, maut dan jodoh adalah ketentuan tuhan. Dua kali gagal dalam rumah tangga buat saya lebih berhati-hati mencari isteri.

“Saya sudah ada lima anak, ada ke lagi wanita mahukan saya? Bagaimanapun, sebagai manusia normal saya tidak menolak untuk berkahwin lagi,” katanya kepada Astro Gempak.

Awie ketika ditemui pada majlis penghargaan media sempena Wings 30 tahun berkata, buat masa ini dia hanya mementingkan kebahagiaan anak-anaknya.

“Saya bimbang anak-anak saya tidak gembira. Sekarang ni pun kalau saya keluar bekerja, keselamatan anak-anak sering bermain difikiran. Saya bimbang mereka didera, dipukul dan dianiaya seperti dulu.

“Hidup saya kini bukan untuk saya lagi, tetapi untuk anak-anak saya. Saya hanya akan gembira sekiranya mereka gembira,” ujarnya.