Mimbar Pencetus Ummah 2015 yang berlangsung malam tadi telah menyaksikan PU Adek dan PU Abu kecundang di peringkat separuh akhir.

Ini bermakna empat lagi peserta yang tinggal iaitu PU Syed, PU Amin, PU Taha dan PU Zaid telah berjaya melangkah ke peringkat akhir minggu hadapan sekali gus bergelar finalis untuk Pencetus Ummah 2015.

Mengulas mengenai penyingkirannya, PU Adek yang berasal dari Singapura berkata dia telah pun buat yang terbaik sepanjang enam minggu berada dalam program dakwah ini, jadi dia menerima penyingkirannya dengan hati yang terbuka dan menganggap ini adalah satu pertandingan di mana ada yang menang dan ada yang kalah.

PU Adek atau nama sebenarnya Adek Zuhaimei Bin Ismail, 35, adalah juara program Generasi Muaz, sebuah rancangan seakan Pencetus Ummah di Singapura namun untuk Pencetus Ummah di sini, dia gagal melangkah ke peringkat akhir.

“Generasi Muaz adalah sebuah program seakan Pencetus Ummah. Namun untuk musim ketiga Pencetus Ummah ini, kita lihat ada beberapa perubahan dari segi format.

“Sejujurnya saya suka dengan perubahan format ini kerana ianya memberi peluang kepada peserta untuk berdakwah dengan lebih kreatif,” jelas PU Adek yang mengakui rezekinya sampai di sini untuk Pencetus Ummah.

Sementara itu, PU Abu atau nama sebenarnya Muhd Abu Sufyan Bin Mohd Mokhtar Rozaidi, 21, berkata tersingkirnya dia dari Pencetus Ummah di peringkat separuh akhir adalah satu ketetapan yang terbaik dari Allah S.W.T buat dirinya.

“Allah S.W.T telah aturkan perjalanan hidup saya sebagai peserta Pencetus Ummah sampai di sini, dan saya menerima perancangan Allah,” katanya.

Tambah PU Abu, banyak yang telah dia pelajari selama enam minggu berada dalam Pencetus Ummah musim ini.

“Saya asalnya seorang yang nakal dan tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama yang banyak. Dulu saya juga bergaul dengan mereka dari golongan yang nakal.

“Tetapi selepas menyertai Pencetus Ummah ini, saya telah bergaul dengan golongan ustaz dan rakan-rakan seperjuangan yang mempunyai latar belakang agama yang tinggi. Jadi saya tahu titik tengah antara dua golongan ini.

“Justeru kemungkinan saya akan menggunakan pengalaman dan ilmu saya dalam Pencetus Ummah ini untuk berdakwah kepada golongan yang nakal tentang keindahan Islam dan sebagainya,” jelas PU Abu.

Kedua-dua mereka yang tersingkir ini adalah anak didik kepada Mualim PU Hafiz.

Mimbar Separuh Akhir Pencetus telah berlangsung dari Dewan Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Setiap peserta diminta membuat dua persembahan pada minggu ini iaitu secara solo dan berduet. Untuk persembahan solo temanya ialah ‘Keratan Akhbar’ mana untuk berduet temanya ialah ‘Sahabat Rasulullah S.A.W”.

Jangan lupa saksikan Mimbar Akhir Pencetus Ummah 2015 pada minggu hadapan yang bakal persaingan hebat empat orang finalis iaitu PU Syed, PU Amin, PU Taha dan PU Zaid.