Selepas kejayaan Konsert Wings 30 Tahun di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu, Wings bakal menggegarkan Dataran Bandaraya Johor Bahru pula pada 25 Disember ini.

Kumpulan rock legenda yang dianggotai Awie (penyanyi), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) ini memilih lokasi terbabit kerana menyasarkan peminat dari Johor dan negara jiran Singapura.

“Kehadiran 20,000 peminat pada konsert yang lalu telah membakar lagi semangat kami untuk mengadakan persembahan pada 25 Disember depan.

“Sepatutnya konsert berkenaan diadakan pada April tahun depan, tetapi ditukar ke bulan depan kerana mahu mengekalkan impak konsert di Stadium Merdeka, baru-baru ini,” kata Joe ketika ditemui pada majlis meraikan media Hotel Park Royal, baru-baru ini .

Menurutnya lagi, lokasi yang dipilih agak strategik kerana selain warga Johor, mereka turut mensasarkan peminat Singapura.

Dalam pada itu, Wings turut melahirkan rasa syukur kerana telah mendapat tajaan dari pengeluar produk kecantikan Agetech untuk menaja konsert mereka di Johor Bahru.

“Kejayaan konsert di Stadium Merdeka telah membawa rezeki kepada kami. Kami juga tidak menyangka akan hadir penaja untuk konsert tersebut.

“Bagaimanapun kami akan pastikan konsert di sana nanti lebih meriah. Bekas anggota Wings seperti Syam, Jojet, Mus dan Mel juga diundang bersama-sama kami membuat persembahan,” katanya.

Tambahnya, konsert kali ini bakal menampilkan 80-an secara keseluruhannya iaitu era kemuncak Wings.

“Kami nak wujudkan ‘mood’ 1980-an dari segi pemakaian, hiasan pentas, muzik dan banyak aspek lagi.

“Senarai lagu juga akan diubah sedikit di mana kami akan mainkan lagu-lagu popular yang jarang dimainkan sebelum ini. Kami janjikan persembahan terbaik dan diharapkan cuaca juga baik,” katanya.

Mengulas mengenai harga tiket, Joe berkata, mereka sedang memikirkan nilai yang sesuai dan mungkin tidak lebih dari RM100.

Wings turut mensasarkan 10,000 peminat hadir memeriahkan konsert itu termasuk dari seberang tambak.

Setakat ini Lan Kristal, Lan & The Typewriter, Aweera dan Bandi Amuk menyuarakan hasrat untuk memeriahkan konsert Wings di Johor itu nanti.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin